Categories
AGENDA NASIONAL

Kes positif koronavirus 2019 kekal lapan

PUTRAJAYA, 1 FEB: Bilangan kumulatif kes positif koronavirus 2019 di negara ini kekal lapan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata jumlah direkod sehingga jam 12 tengah hari Sabtu, membabitkan tiga kes dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI) dan lima kes kontak rapat.

Jumlah kumulatif PUI jangkitan koronavirus 2019 seramai 142 dan enam masih menunggu keputusan ujian makmal manakala kontak rapat kepada kes positif kekal seramai 32, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan juga mengambil maklum mengenai seorang pesakit disyaki koronavirus 2019 yang enggan diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di sebuah hospital di Selangor seperti yang tular di media sosial semalam.

Setelah pihak hospital membuat laporan polis, pesakit disyaki itu berjaya dikesan dan dimasukkan ke dalam wad untuk siasatan dan rawatan.

Keputusan sampel klinikal yang diambil pada 31 Januari dilaporkan negatif koronavirus 2019, katanya yang turut merakamkan penghargaan kepada polis atas kerjasama yang diberikan dalam mengesan pesakit itu.

-BERNAMA