Categories
AGENDA NASIONAL

KKM terima 2.5 juta vaksin polio tambahan daripada WHO

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima 2.5 juta dos vaksin polio oral monovalen jenis 2 (mOPV2) daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai vaksin tambahan untuk kawalan wabak polio di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bekalan vaksin yang dikendalikan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) itu untuk diberikan kepada lebih 1 juta kanak-kanak di bawah umur 13 tahun di Sabah.

“Vaksin mOPV2 yang dibekalkan oleh UNICEF adalah vaksin tambahan yang perlu diberikan di samping vaksin bOPV (vaksin polio oral bivalen) yang disediakan oleh Kerajaan Malaysia untuk memastikan perlindungan virus polio adalah lengkap.

“Kedua-dua jenis vaksin ini (iaitu mOPV dan bOPV) akan memberi perlindungan kepada kanak-kanak serta menghalang penularan virus polio kepada kanak-kanak lain.

“Semua kanak-kanak yang berumur bawah 13 tahun akan diberikan kedua-dua jenis vaksin OPV ini tanpa mengira status imunisasi,” katanya dalam satu kenyataan di laman rasmi KKM.

Dr Noor Hisham berkata vaksin OPV berkenaan adalah selamat dan perlu diberikan beberapa kali bagi kesan yang optimum, justeru ibu bapa penjaga dan pihak taska, tadika serta sekolah digesa memastikan kanak-kanak menerima imunisasi tersebut.

Terkini, Malaysia masih kekal mencatatkan tiga kes disahkan polio melibatkan kanak-kanak berumur tiga bulan dari Tuaran, lapan tahun dari Sandakan dan 11 tahun dari Kinabatangan di Sabah.

Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang sihat tiada bergejala dari daerah Semporna telah dikesan positif virus polio melalui persampelan yang disasarkan ke atas kanak-kanak sihat, manakala lima sampel persekitaran air kumbahan dikesan positif virus polio iaitu dari Daerah Kota Kinabalu dan Semporna.

Sebagai langkah kawalan, kerajaan telah mengeluarkan peruntukan tambahan untuk menjalankan kempen imunisasi bOPV kepada kanak-kanak di seluruh negeri Sabah sejak 27 Dis 2019.

– BERNAMA