Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus: BSN tawar tangguh sementara bayar pinjaman

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini mengumumkan pelanggannya boleh memohon untuk penangguhan sementara pembayaran pinjaman yang mungkin terjejas akibat penularan koronavirus 2019.

“Kami memahami keadaan pelanggan yang terdiri daripada pengusaha perniagaan yang mungkin terjejas kerana tidak dapat berurusan dengan pembekal tertentu akibat penularan penyakit ini terutamanya di negara-negara yang berisiko,” kata Ketua Eksekutifnya, Datuk Yunos Abd Ghani dalam kenyataan hari ini.

“Kami menyeru kepada mereka yang terlibat untuk hadir dan berbincang dengan BSN bagi memastikan kelangsungan perniagaan di samping memastikan kemudahan dinikmati dengan sebaik mungkin.

“Sebagai sebuah bank prihatin, BSN sentiasa memastikan keperluan pelanggan diutamakan,” katanya.

Pelanggan boleh hadir di mana-mana cawangan BSN berhampiran untuk perbincangan atau menghubungi Pusat Hubungan Pelanggan BSN di talian 1-300-88-1900 untuk keterangan lanjut.

– BERNAMA