Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus: Kerajaan sedia guna pakej rangsangan tingkat ekonomi

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Kerajaan ‘optimis secara berhati-hati’ mengenai unjuran pertumbuhan ekonomi 2020 dan bersedia untuk menangani keadaan koronavirus 2019 dengan sewajarnya, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Dr Ong Kian Ming berkata keadaan adalah terkawal di Malaysia dan di seluruh dunia walaupun kes-kes baharu dicatatkan setiap hari.

“Kebanyakan mereka yang dimasukkan ke hospital disebabkan virus itu telah pulih dan dibenarkan pulang. Kadar kematian juga rendah. Dari segi ekonomi, kami melihat impak jangka pendek dan bukan jangka panjang,” katanya pada majlis makan malam CEO Tahun Baharu Cina anjuran Enterprise Asia di sini malam tadi.

Kerajaan mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.8 peratus pada 2020.

Kian Ming berkata kerajaan bersedia untuk menggunakan pakej rangsangan bagi meningkatkan ekonomi tempatan berikutan kebimbangan mengenai koronavirus.

Kelmarin, Kabinet mengarahkan Kementerian Kewangan untuk menyediakan pakej rangsangan ekonomi berikutan penularan koronavirus.

Kementerian itu dijadualkan akan mengadakan perbincangan dengan kementerian yang berkaitan dan penggiat industri untuk menentukan keperluan pakej rangsangan itu.

Kian Ming berkata kerajaan memperuntukkan RM5 bilion dalam tempoh lima tahun untuk menarik lebih banyak syarikat asing melabur di negara ini.

“Kami turut memperuntukkan RM5 bilion lagi untuk tempoh lima tahun akan datang untuk meningkatkan syarikat tempatan yang mencari peluang eksport pada peringkat global,” katanya.

Bulan lepas, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia mengumumkan negara mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM149 bilion untuk tempoh sembilan bulan pertama 2019.

Agensi itu menjangka jumlah pelaburan yang diluluskan bagi 2019 mengatasi angka pada 2018 sebanyak RM204.3 bilion.

– BERNAMA