Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus terkawal, Selangor tiada hasrat batal program

SHAH ALAM, 6 FEB: Selangor tidak akan membatalkan program berskala besar di tempat awam kerana koronavirus 2019 di negara ini masih dalam keadaan terkawal, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tiada keperluan mendesak untuk berbuat demikian, namun Kerajaan Negeri sentiasa memantau perkembangan wabak itu dari semasa ke semasa.

“Kita belum sampai ke tahap batalkan sebarang program keramaian. Berdasarkan situasi semasa, keadaan adalah terkawal.

“Malah ada pesakit yang dijangkiti koronavirus sudah pulih sepenuhnya. Alhamdulillah ia perkembangan baik,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di Pejabat Menteri Besar di sini hari ini.

Sebelum ini, Johor dilaporkan menangguh semua program perhimpunan awam berskala besar sepanjang bulan ini bagi mengelak risiko penularan koronavirus.