Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP kompaun peniaga naikkan harga topeng muka

KLANG, 6 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan kompaun bernilai RM21,700 kepada premis termasuk farmasi yang menaikkan harga topeng muka, kata timbalan ketua setiausahanya.

Dr Alauddin Sidal berkata pemeriksaan sehingga 25 Januari lalu di 1,314 premis seluruh negara dibuat berdasarkan 31 aduan orang ramai.

“KPDNHEP membuka sembilan kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) dan mengambil tindakan kepada sembilan premis serta merampas topeng muka bernilai RM3,475.50,” katanya selepas melawat kilang pembuatan topeng muka Cross Protection (M) di Jalan Meru hari ini.

Antara topeng muka ditetapkan di bawah kawalan harga AKHAP 2011 ialah:

-Topeng muka (pembedahan/perubatan) satu lapisan gelung telinga RM5 sekotak pada harga borong dan RM7 sekotak pada harga runcit

-Topeng muka (pembedahan/perubatan) dua lapisan gelung telinga RM8 sekotak pada harga borong dan RM10 atau RM 0.20 sen seunit pada harga runcit

-Topeng muka (pembedahan/perubatan) tiga lapisan gelung telinga/gelung kepala RM25 sekotak pada harga borong dan RM0.80 sen seunit pada harga runcit

Sebarang perlanggaran peruntukan akta berkenaan boleh menyebabkan individu didenda hingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun hingga RM50,000.

Syarikat pula boleh didenda hingga RM500,000 atau dikompaun hingga RM250,000.