Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP catat caruman ahli RM75.9 bilion tahun lalu

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan keseluruhan caruman ahli berjumlah RM75.9 bilion pada 2019 dan pertumbuhan 24.6 peratus (7.6 juta) bagi pelanggan i-Akaun.

Majikan yang berdaftar dengan KWSP juga bertambah sebanyak 3.0 peratus daripada 507,100 kepada 522,300 majikan.

Dana tersebut juga menerima secara purata caruman bulanan sebanyak RM6.3 bilion, yang membawa maksud caruman sebanyak RM144,000 diterima setiap minit daripada 14.6 juta ahlinya dan daripada angka itu, 7.6 adalah ahli aktif.

“Secara keseluruhan, pengeluaran pada 2019 berjumlah RM44.8 bilion, yang membawa maksud anggaran RM85,000 diagihkan kepada ahli setiap minit.

“KWSP menerima caruman bersih berjumlah RM31.1 bilion pada tahun tersebut atau secara purata RM2.6 bilion setiap bulan, iaitu RM59,000 setiap minit,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ahli KWSP merangkumi lima generasi warga kerja Malaysia iaitu:

1. 1.4 peratus ‘traditionalist’ (lahir 1900 hingga 1940)
2. 8.0 peratus ‘baby boomer’ (lahir antara 1941 dengan 1960)
3. 38.3 peratus Generasi X (lahir 1961 hingga 1980)
4. 51.5 peratus Generasi Y (lahir 1981 hingga 2000)
5. 0.9 peratus Generasi Z (lahir 2001 ke atas)

Dalam usaha untuk terus memberi nilai tambah kepada ahli, KWSP melaksanakan beberapa inisiatif pada 2019 seperti pelancaran i-Invest yang merekodkan nilai transaksi RM81.8 juta, memberi manfaat kepada lebih 10,000 ahli, sejak pelancarannya pada Ogos 2019.

Tabung persaraan itu berkata, celik kewangan tetap menjadi inisiatif teras bagi 2019, dengan pelancaran panduan Belanjawanku dan ‘My Money Matters’ yang menawarkan maklumat dan tips berkenaan perbelanjaan kewangan.

Menurut KWSP, skim caruman sukarela seperti i-Saraan (bagi pekerja sambilan) dan i-Suri (bagi suri rumah) masing-masing merekodkan RM144 juta dan RM7.4 juta dan ini menegaskan komitmen KWSP untuk terus meluaskan liputan perlindungan sosial.

Di samping itu, Khidmat Nasihat Persaraan KWSP yang memenangi pelbagai anugerah serta bertujuan melengkapi ahli dengan ilmu pengurusan kewangan semasa persaraan, diperluaskan kepada 52 cawangan tahun lalu daripada 28 cawangan pada 2018, menurut KWSP.

-BERNAMA