Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 100 jemaah umrah Malaysia, Indonesia terkandas di KLIA

SEPANG, 28 FEB: Lebih 100 jemaah umrah Malaysia dan Indonesia yang transit di negara ini terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam susulan keputusan Kerajaan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan warganegara asing bagi mengekang penularan Covid-19.

Seorang jemaah dari Kedah, Mohd Fadzil Osman, 49, berkata beliau bersama 39 lagi jemaah dari Sungai Petani dan Alor Setar, Kedah tiba di KLIA pada 6 pagi dan sepatutnya berlepas dengan pesawat Saudi Airlines pada 4.40 petang.

Beliau yang turut membawa isteri Norharisah Harun, 47, berkata mereka hanya mengetahui mengenai keputusan Kerajaan Arab Saudi pada 9 pagi.

“Ketika itu kami dimaklumkan keputusan belum muktamad, jadi kami menunggu lagi, tetapi kira-kira pukul 1 tengah hari barulah dapat pengesahan kami tak boleh terbang.

“Ada antara kami yang sudah mendaftar masuk, tetapi terpaksa keluar semula selepas dimaklumkan penerbangan batal,” katanya kepada Bernama, di sini malam tadi.

Mohd Fadzil berkata oleh kerana mereka datang menaiki bas, mereka terpaksa menunggu sehingga 1 pagi esok (hari ini) untuk bas berkenaan berpatah balik ke KLIA.

Walaupun kecewa tidak dapat menunaikan umrah pada saat akhir, namun beliau menganggap rezeki belum memihak kepadanya.

“Ini sepatutnya pertama kali saya dan isteri menunaikan umrah, tetapi apa boleh buat, kita hanya merancang. Penerbangan cuma ditangguh sehingga pihak Arab Saudi buka semula kemasukan jemaah umrah,” katanya.

Seorang lagi jemaah Rohani Abdul Rahman, 57, berharap penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah ke Arab Saudi ditarik balik dalam masa terdekat.

“Kami sudah buat persediaan selama enam bulan untuk ibadah umrah ini, tak sangka saat akhir terpaksa dibatalkan. Memang sedih, tetapi kami reda,” katanya.

Sementara itu, jemaah dari Indonesia Muhammad Jamil Arfah, 28, berkata beliau bersama 23 lagi jemaah tiba di KLIA dari Makassar pada 3 petang tadi untuk transit sebentar sebelum menaiki penerbangan ke Arab Saudi.

“Penerbangan kami sepatutnya 9 malam tadi, tetapi dibatalkan. Ketika ini kami masih menunggu kata putus sama ada mahu pulang (ke Makassar) atau masih bisa (boleh) terbang ke Arab Saudi,” katanya.

Arab Saudi mengumumkan penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah dan aktiviti melawat Masjid Nabawi sebagai langkah pencegahan proaktif untuk menyekat penularan wabak Covid-19, menurut Kementerian Luarnya pada Rabu.

Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan sementara perjalanan ke Arab Saudi bagi tujuan umrah, ziarah dan pelancongan susulan tindakan pihak berkuasa negara itu.

-BERNAMA