Categories
EXCO SELANGOR

Lebih 2,000 jalani rawatan tibi melalui bantuan RM800

KLANG, 29 FEB: Lebih 2,000 pesakit tuberkulosis (tibi) kini menjalani rawatan penuh selama enam bulan melalui insentif Kerajaan Selangor dengan RM800 seorang, kata EXCO Kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2020 bagi mendapatkan rawatan penyakit terbabit.

Katanya, beliau menggalakkan orang ramai ambil peluang ini bagi memastikan kesihatan orang sekeliling terpelihara kerana tibi mampu merebak.

“Kematian berpunca tibi amat tinggi jumlahnya jika dibandingkan denggi tetapi kematiannya bukan dalam kadar segera, ia berlaku secara perlahan-lahan. Sebab itu pentingnya rawatan dari awal,” katanya selepas merasmikan Karnival 3W (Kesihatan, Kebajikan, Wanita) di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas, di sini hari ini.

Insentif itu bagi meringankan beban kos rawatan yang ditanggung selain memastikan pesakit melengkapkan semua sesi rawatan di hospital.

Pesakit boleh mendapatkan borang permohonan insentif itu di hospital dan klinik kerajaan atau pusat khidmat masyarakat.

Bayaran insentif dibuat menerusi tiga transaksi iaitu RM200 bagi dua bulan pertama, RM200 (dua bulan seterusnya) dan RM400 sehingga selesai rawatan.