Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki China pulih jangkitan koronavirus, dibenar keluar HKL

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Seorang lelaki warganegara China berusia 63 tahun, yang menjalani rawatan di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan jangkitan koronavirus 2019 pulih sepenuhnya dengan hasil ujian ulangan bagi virus itu didapati negatif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata mangsa yang merupakan kes ke-10telah diberikan rawatan bagi gejala dengan pengawasan berterusan dan tiada keperluan untuk rawatan ubat antiviral.

“Terkini, dua ujian ulangan dijalankan berturut-turut ke atasnya pada 7 dan 8 Februari lepas adalah negatif dan pesakit dibenarkan pulang pada petang ini,” katanya di laman Facebook rasminya.

Semalam, seorang lelaki warga China yang dimasukkan ke wad isolasi Hospital Permai, Johor Bahru pada 24 Januari juga dibenarkan pulang selepas keputusan ujian ulangan ketiga negatif.

Lelaki itu merupakan pesakit kedua yang dibenarkan pulang, selepas seorang kanak-kanak perempuan warga China, yang menjalani rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah turut dibenarkan pulang pada 4 Februari lalu.

– BERNAMA