Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia rekod kes pertama positif koronavirus

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 41 tahun dari Selangor, antara dua kes baharu yang dilaporkan positif koronavirus 2019, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata satu lagi kes membabitkan seorang lelaki warganegara China berumur 63 tahun, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 Januari lepas.

“Bagi kes warganegara Malaysia, beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara jiran (Singapura) dari 16 hingga 23 Januari lalu, bagi menghadiri mesyuarat yang turut dihadiri beberapa delegasi antarabangsa termasuk dari negara China.

“Beliau pulang ke Malaysia pada 23 Januari dan pada 29 Januari beliau mendapatkan rawatan di pusat rawatan swasta di Selangor kerana demam dan batuk. Selanjutnya beliau dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada 2 Februari dan dimasukkan ke wad isolasi. Beliau disahkan positif koronavirus 2019 semalam,” katanya pada sidang media perkembangan terkini kluster koronavirus 2019, di sini hari ini.

Beliau berkata rakyat Malaysia itu kini dalam keadaan stabil dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengadakan kerjasama erat dengan pihak negara jiran untuk mengenal pasti aktiviti pengesanan sentuh (contact tracing).

Dr Dzulkefly berkata KKM kini sedang mengadakan pengesanan kontak dengan keluarga terdekat pesakit mengikut prosedur operasi standard ditetapkan.

Berhubung kes kedua lelaki berasal dari Wuhan, China, beliau berkata pesakit mula mengalami demam biasa pada 23 Januari dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur.

“Kes dimaklumkan kepada KKM dan beliau diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan untuk tempoh 14 hari.

“Pada 2 Februari, demam masih berterusan dan beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi menerima rawatan lanjut. Ujian makmal positif koronavirus 2019 pada 3 Februari dan pesakit kini berada dalam wad isolasi dan dalam keadaan stabil,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata dengan pertambahan dua kes baharu positif itu, jumlah kes berkenaan yang dilaporkan sehingga hari ini adalah 10 kes, iaitu lima kes dalam kalangan Pesakit Dalam Siasatan (PUI) jangkitan koronavirus 2019 dan lima kes lagi dalam kalangan kontak rapat.

Daripada jumlah kes itu, sembilan kes adalah warganegara China dan seorang rakyat Malaysia.

“Jumlah kumulatif kes PUI dari 10 Januari hingga 3 Februari setakat enam petang adalah seramai 213 orang melibatkan 122 warganegara Malaysia, China (86), Australia (1), Republik Korea (1), Jordan (1), Brazil (1) dan Thailand (1),” katanya.

Ditanya mengenai status 34 warganegara Malaysia yang tidak turut serta dalam misi membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan awal pagi ini, Dr Dzulkefly berkata beliau percaya Kementerian Luar akan mengambil tindakan sesuai berhubung perkara itu.

Pesawat AirAsia yang dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) digerakkan kerajaan Malaysia, membawa pulang 107 individu yang terkandas di wilayah Hubei, terdiri daripada 88 rakyat Malaysia dan 19 lagi adalah pasangan serta anak mereka yang bukan warganegara.

Pesawat khas itu, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5.57 pagi ini.

– BERNAMA