Categories
AGENDA NASIONAL

Manfaat skim mySalam mula dirasai rakyat

IPOH, 20 FEB: Kempen berterusan oleh kerajaan dalam menguar-uarkan kewujudan Skim Perlindungan Masyarakat, mySalam berjaya membuka mata orang ramai tentang kemudahan itu.

Berkongsi perkara itu, Zawiyah Tomin, 53, berkata beliau mengetahui tentang mySalam semasa menjalani rawatan susulan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini selepas kaki kirinya dipotong sehingga paras lutut tahun lalu akibat kencing manis.

Selain itu, kaki kanan ibu kepada empat orang anak itu turut dipotong tahun ini sehingga paras buku lali juga disebabkan penyakit sama.

“Semasa buat rawatan susulan sempatlah bersembang dengan beberapa pesakit yang pernah menerima manfaat mySalam.

“Mereka beritahu layak tuntut bantuan tunai sekali bayar RM8,000 kemudian dapat duit RM50 sehari kalau masuk hospital, makcik rasa sangat baik dan terus mohon,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Zawiyah, dia berulang-alik dari Air Kuning, Kampar ke HRPB dengan jarak kira-kira 60 kilometer sehala bersama anak perempuannya Wan Nor Zarith Ashikin Anuar, 21, dan jika layak menerima mySalam ia pasti dapat menampung kos pengangkutan semasa temu janji rawatan.

Bagi seorang pekerja swasta, Lee Hoei Min, 28, dia mengetahui mengenai mySalam menerusi perkongsian ramai di media sosial dan tidak melepaskan peluang untuk mendaftarkan ayahnya yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan.

Beliau berkata ayahnya yang ingin dikenali sebagai Yeap, 51, disahkan mempunyai penyakit berkaitan hati tahun lepas selain masalah buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis.

“Saya harap ayah layak. Saya telah cuba memohon secara dalam talian tapi mengambil inisiatif untuk datang ke HRPB bagi mendapatkan lebih maklumat,” katanya yang tinggal di Silibin di sini.

Sementara itu, seorang jururawat, P. Theveki, 42, mengambil inisiatif memahami secara terperinci mengenai mySalam agar beliau boleh berkongsi dengan pesakit yang dirawatnya di unit Neurosurgical, HRPB.

“Saya berkongsi dengan ibu bapa atau penjaga pesakit kerana kebanyakan pesakit yang terlantar contohnya jika berkaitan pernafasan perlu membeli alat bantuan berharga RM220 dan perlu ditukar setiap enam bulan.

“Selain itu, jika dirawat di rumah, penjaga perlu menyediakan mesin sedut kahak berharga RM500 selain susu dan lampin pakai buang,” katanya yang telah berkhidmat sebagai jururawat 20 tahun dan di unit berkenaan sejak 2016.

Petugas kiosk mySalam di HRPB, Noratikah Md Samari, 28, pula berkata sekitar 100 orang sehari datang memohon skim berkenaan dengan kebanyakannya berumur 30 tahun ke atas.

“Fungsi kami berada di sini dari Isnin hingga Jumaat mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang adalah untuk memberi penerangan mengenai mySalam dan juga membantu pemohon membuat log masuk kali pertama,” katanya.

Pada 11 Februari lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan skim mySalam lanjutan yang berkuat kuasa sejak 1 Januari meliputi sembilan lagi penyakit kritikal termasuk polio, menjadikan jumlah penyakit yang diliputi 45 jenis.

Skim lanjutan itu turut melibatkan peningkatan had umur kepada 65 daripada 55 sebelum ini, penerima Bantuan Sara Hidup yang bujang dan orang kurang upaya, dan kini termasuk kumpulan M40 dengan pendapatan kasar tahunan RM100,000 dan ke bawah.

– BERNAMA