Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mas benarkan batal tiket ke China, tambang dibayar balik

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Malaysia Airlines (Mas) hari ini mengumumkan ia akan membenarkan pembatalan tiket dengan bayaran balik penuh selain perubahan ke atas tiket secara percuma bagi penerbangan ke China.

Langkah tersebut diambil selepas Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak mengenakan sekatan masuk sementara ke atas rakyat China dan warga asing yang telah mengembara ke republik itu dalam tempoh 14 hari terakhir, berkuat kuasa semalam.

Mereka yang mempunyai Pas Bekerja, Pas Pelajar dan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang akan dibenarkan masuk dan tertakluk kepada kuarantin wajib sendiri di rumah selama 14 hari untuk mengurangkan penyebaran wabak koronavirus 2019 di negeri itu.

Syarikat penerbangan itu berkata penumpang memegang tiket yang dikeluarkan pada atau sebelum 28 Januari untuk perjalanan bagi tempoh dari 28 Januari hingga 29 Februari ke dan dari Beijing, Shanghai, Guangzhou dan Xiamen akan dibenarkan untuk pembatalan dengan bayaran balik penuh.

Mereka juga boleh membuat perubahan sekali sehaja bagi tiket penerbangan dengan pengecualian fi perubahan dan pembatalan, menurut Mas dalam kenyataan hari ini.

Syarikat penerbangan tersebut berkata tawaran berkenaan terpakai bagi tiket belum digunakan sepenuhnya dan tiket yang telah digunakan sebahagiannya.

Selain itu, perjalanan yang disemak semula atau alternatif mesti pada atau sebelum 31 Mei 2020 dan tertakluk kepada ketersediaan penerbangan, menurutnya.

“Kakitangan Mas akan mengedarkan borang di kawasan menunggu sebelum berlepas kepada penumpang yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu; Kota Kinabalu-Kuching; dan Singapura-Kuching,” menurut Mas.

– BERNAMA