Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Jadikan masjid tempat penyatuan rakyat

SABAK BERNAM, 7 FEB: Semua pihak diingatkan tidak menjadikan masjid di Selangor sebagai tempat menyebar fitnah sehingga menggugat perpaduan rakyat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata institusi berkenaan perlu berfungsi sebagai tempat penyatuan, bukan menyemai kebencian dalam kalangan masyarakat.

“Saya tidak mahu masjid digunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu. Ingin ditegaskan sekali lagi saya tidak akan benarkan perkara ini berlaku di Selangor.

“Semua pihak berkepentingan perlu menghormati perbezaan pendapat dan tidak sesekali membawa unsur negatif masuk ke dalam masjid,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kelulusan Pemilikan Tanah Kampung Desa Kasih Merbau di sini hari ini.

Amirudin berkata, rakyat Selangor perlu mengekalkan keharmonian dan perpaduan untuk memastikan kemakmuran ekonomi terus dinikmati bersama.