Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Selangor perlu pantas respon semua isu

SHAH ALAM 28 FEB: Kerajaan Negeri perlu menawarkan komunikasi yang cepat, tepat dan terkawal kerana semua komuniti saling berkait dalam dunia global menerusi laman sosial, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata setiap kumpulan mempunyai semangat kekitaan tersendiri yang menyebabkan mereka menjadi sinis dan berpandangan skeptik kepada kuasa atau kerajaan.

“Hubungan kerajaan dengan rakyat kini berlapis-lapis dan mempunyai pelbagai sudut pandangan (multi layered, multi angle). Beberapa isu seperti rasuah contohnya 1Malaysia Development Berhad kini menjadi perhatian semua golongan tanpa mengira latar belakang.

“Kepedulian secara menyeluruh ini sangat berbeza kerana dahulunya cuma menjadi perhatian segelintir golongan seperti penguat kuasa dan aktivis,” katanya dalam perutusan Pemukiman Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Selangor di Bandung, Indonesia pada 23 hingga 26 Februari lalu.

Amirudin berkata demokratisasi media juga telah menghapuskan kedudukan `gatekeeper’ yang menjadi pengantara antara media dan rakyat.

“Buruknya ada juga, contohnya dalam kes berita palsu yang berpotensi menjadi viral (tular) dengan sangat cepat serta menghasilkan kesan lanjutan yang sangat besar. Mujur dalam kes Covid-19 kita berjaya kawal sebaran yang boleh mencetuskan panik,” katanya.

Oleh itu katanya, Kerajaan Negeri kini perlu memberi respon yang lebih cepat dan tepat bagi menjawab semua isu.