Categories
PBT SELANGOR

MBPJ cadang KPI ahli majlis PBT

SHAH ALAM, 20 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bercadang melaksanakan indeks prestasi utama (KPI) bagi memantau gerak kerja ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT), kata datuk bandarnya.

Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, langkah itu bagi memastikan mereka menjalankan tanggungjawab dengan baik selain meningkatkan kualiti penyampaian.

“Sudah tiba masanya KPI diperkenalkan dan cadangan ini perlu dipertimbangkan.

“Seorang Ahli Dewan Negeri (ADN) tidak mampu melaksanakan semua perkara jadi ahli majlis perlu membantu menyelesaikan aduan penduduk,” katanya.

Beliau menjadi saksi sesi pendengaran awam ‘Penilaian Prestasi PBT dan Ahli Majlis Negeri Selangor’ oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) di Bangunan Annex di sini hari ini.

Selcat dipengerusikan ADN Sekinchan Ng Suee Lim dan ahli jawatankuasa terdiri ADN Hulu Kelang Saari Sungib, ADN Banting Lau Weng San, ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, ADN Sungai Air Tawar Rizam Ismail dan ADN Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.