Categories
AGENDA NASIONAL

Misi kedua bawa pulang 75 rakyat Malaysia di Wuhan Selasa ini

PUTRAJAYA, 21 FEB: Seramai 75 warganegara Malaysia dan pasangan serta anak mereka yang terkandas di Wuhan, wilayah Hubei, China susulan wabak Covid-19 dijadual dibawa pulang melalui penerbangan khas AirAsia, Selasa ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Kementerian Luar dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan kerjasama AirAsia sedang menguruskan butiran mengenai misi kedua tersebut.

“Misi kedua akan diuruskan sama seperti misi pertama. Saya difahamkan mereka berdepan dengan masalah logistik kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe Wuhan jauh dari tempat mereka.

“Kalau mereka tidak ada pengangkutan, ia sedikit memberi kekangan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Kluster Penyakit Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata sama seperti misi pertama, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semua penumpang akan melalui saringan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) sebelum dihantar ke Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) untuk proses pemantauan selama 14 hari.

Misi pertama pada 4 Februari lalu berjaya membawa pulang 107 daripada 141 orang yang terkandas di wilayah Hubei, terdiri daripada 88 rakyat Malaysia dan 19 lagi adalah pasangan serta anak mereka yang bukan warganegara.

– BERNAMA