Categories
PBT SELANGOR

MPS roboh gerai haram halang kawasan awam

SHAH ALAM, 21 FEB: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan satu struktur gerai haram yang dibina di atas rizab jalan berhadapan Flat Taman Setia Rawang pada 19 Februari lalu, kata pengarah jabatan korporatnya.

Pernah berdepan tindakan sebelum ini, Mohamad Zin Masoad berkata struktur tersebut menimbulkan pelbagai masalah termasuk halangan, kebersihan dan gangguan trafik kepada penduduk.

“MPS sekali lagi mengingatkan penjaja supaya sentiasa mematuhi syarat dan permit dikeluarkan bagi mengelak dikenakan kompaun dan sitaan.

“Penjaja juga diingatkan supaya tidak mendirikan sebarang struktur kekal atau meninggalkan bahan perniagaan serta menjaga kebersihan kawasan pada setiap masa,” katanya dalam kenyataan yang menambah MPS turut menyita tiga barangan niaga.

Katanya, MPS turut bersetuju menjadikan kawasan berkenaan sebagai tempat larangan menjaja.

Tindakan diambil selaras Seksyen 46(1)a dan Seksyen 46(1)d Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 atas kesalahan menjalankan perniagaan di tempat larangan yang menyebabkan halangan kepada kawasan awam.