Categories
AGENDA PENDIDIKAN

MSU rai 1,769 graduan, tangguh konvokesyen pelajar China dan Sri Lanka

SHAH ALAM, 23 FEB: Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) menangguhkan sesi konvokesyen pada kali ini untuk graduan dari China dan Sri Lanka susulan penularan wabak Covid-19.

Presidennya, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata ia sebagai langkah berjaga-jaga serta mengikut garis panduan ditetapkan Kementerian Pendidikan dan juga Kementerian Kesihatan.

“Buat masa ini, kita tidak benarkan mereka balik ke sini sehingga keadaan reda tetapi MSU terus memberi sokongan dari segi kaunseling dan program pembelajaran secara online (dalam talian),” katanya.

Pada konvokesyen ke-26 itu, seramai 1,769 graduan daripada 87 program pengajian diraikan selama dua hari bermula semalam.

Seramai 1,108 graduan menerima skrol ijazah Sarjana Muda, ijazah Doktor Falsafah atau PhD (48), ijazah sarjana (34) dan Diploma (579) serta lima anugerah khas diberikan kepada 47 graduan di atas pencapaian cemerlang mereka dalam bidang pengajian masing-masing.

Mengulas pencapaian graduan dalam konvokesyen itu, Dr Mohd Shukri gembira kerana sebanyak 42 peratus memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.30 dan ke atas.