Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pasukan petugas proses kepulangan rakyat Malaysia di Wuhan

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Pasukan petugas Kedutaan Besar Malaysia di Beijing mula mengoperasikan bilik sekretariat di bandar Wuhan untuk membantu proses penghantaran pulang rakyat Malaysia susulan penularan wabak koronavirus 2019 di negara itu.

Duta Besar Malaysia ke China, Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin dalam kenyataan malam ini berkata tugas pasukan itu semalam ialah terus mengemas kini maklumat logistik dan juga memurnikan tindakan bagi membawa pulang rakyat Malaysia.

“Usaha-usaha perbincangan lanjut dibuat bersama kerajaan China dan kerajaan tempatan Wilayah Hubei bagi memastikan kelancaran proses tersebut,” katanya.

Setakat ini, rakyat Malaysia memberi maklum balas dan kerjasama baik selain pasukan tersebut menerima sokongan kerajaan China dan kerajaan tempatan bagi menggerakkan rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Nushirwan memaklumkan 141 orang, terdiri daripada 117 rakyat Malaysia dan 24 bukan warganegara yang merupakan pasangan serta anak-anak mereka akan dibawa pulang menaiki pesawat khas dari Wuhan.

Semalam Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kenyataan menyatakan seramai 132 orang akan dibawa pulang dengan penerbangan khas hari ini.

Wan Azizah berkata tertakluk kepada kelulusan kerajaan China, mereka yang akan dibawa pulang hanyalah yang sihat untuk menaiki pesawat selepas menjalani tapisan kesihatan yang ditetapkan republik itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan, Tianhe.

– BERNAMA