Categories
AGENDA SUKANKINI

Pemain muda lebih sesuai jadi pemain naturalisasi

SHAH ALAM, 3 FEB: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mengutamakan faktor usia sebelum membuat keputusan dalam pemilihan pemain naturalisasi, kata bekas pemain kebangsaan.

Datuk Jamal Nasir Ismail berkata pemain melebihi 30 tahun dianggap kurang relevan jika dikira tempoh sumbangan yang mampu diberikan untuk skuad kebangsaan.

“Pemain naturalisasi perlu diambil dalam kalangan pemain 25 hingga 30 tahun. Kalau ambil muda sangat bimbang dia kekurangan pengalaman.

“Paling elok yang berusia 35 atau 36 tahun yang mana kita boleh guna dia sekurang-kurangnya dalam tempoh lima, enam tahun lagi. Tapi kalau sudah 35 tahun baru nak ambil (jadi pemain naturalisasi) tiada asas, (usia) itu sudah di penghujung.

“Pada usia itu pun pemain sudah tiada apa lagi nak dikejar. Benda macam ini kena ambil kira kerana takkan kita nak pakai pemain naturalisasi hanya setahun atau dua tahun,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Sebelum ini, beberapa pemain import dilihat berpotensi diberikan status naturalisasi termasuk penyerang Kedah, Kipre Thcehtche yang berusia 32 tahun.

Bagaimanapun, Kipre perlu menunggu dua tahun lagi untuk melengkapkan syarat lima tahun beraksi di negara ini seperti ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Berdasarkan kenyataan Jamal Nasir itu, pemain Melaka United berusia 22 tahun Romel Morales antara pemain sesuai diberikan status naturalisasi dan memasuki tahun ketiga beraksi di Liga Malaysia.