Categories
PENDAPAT RENCANA

Pengguna mula nikmati pengurangan kadar tol

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Jutaan rakyat Malaysia mula menikmati kadar tol 18 peratus lebih rendah bermula tengah malam tadi, satu penjimatan yang cukup ketara buat semua pengguna.

Bukan sahaja pengguna lebuh raya, malah penstrukturan semula konsesi PLUS itu juga membolehkan kerajaan membuat penjimatan RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi baharu sehingga 2058.

Selain itu, mengikut perhitungan yang dibuat kerajaan, untuk tahun ini sahaja, kerajaan dan pengguna akan turut menyaksikan jumlah penjimatan sehingga RM1.1 bilion secara langsung.

Ini termasuk penjimatan RM0.5 bilion daripada diskaun 18 peratus dan juga penjimatan RM0.6 bilion daripada bayaran pampasan kerajaan untuk membekukan kenaikan kadar tol.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata penjimatan ini akan dapat disalurkan untuk program-program kebajikan dan pembangunan ekonomi yang akan memanfaatkan rakyat secara keseluruhan.

“Dengan penurunan kadar tol ini berkuat kuasa hari ini, kerajaan telah mengambil suatu langkah yang besar ke arah memenuhi janji untuk menghapuskan tol secara berperingkat dengan merunding semula perjanjian konsesi lebuh raya, seperti dinyatakan Manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN),” katanya baru-baru ini.

Mengimbas kembali, Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 15 Januari 2020 telah memutuskan diskaun kadar tol sebanyak 18 peratus itu akan diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5) di lebuh raya yang terlibat iaitu:

1. Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE)
2. Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE)
3. Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA)
4. Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2)
5. Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH)
6. Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE)

Diskaun itu juga diberikan kepada kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 yang menggunakan Jambatan Pulau Pinang.

Dengan berkuatkuasanya pengurangan kadar tol pada 12 tengah malam tadi, kadar tol baru ini berkurang daripada 13.6 sen/km kepada 11.15 sen/km, lebih rendah berbanding kadar tol pada 1999 iaitu 11.24 sen/km.

Kadar tol Jalan Duta ke Alor Setar pula ditetapkan kepada RM45.50 berbanding RM55.50 sebelum ini, manakala kadar tol Jalan Duta ke Skudai menurun kepada RM38.50 daripada RM47.00 sekarang ini.

Keputusan Putrajaya ini pastinya mengubah landskap ekonomi negara khasnya dalam bidang pengangkutan, apabila lebih ramai lagi pengguna dijangka membanjiri jajaran lebuh raya PLUS yang mendominasi keseluruhan lebuh raya di Malaysia.

Bagi yang menggunakan lebuh raya untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja setiap hari, mereka akan merasai impak penurunan kadar tol ini dengan lebih ketara berbanding pengguna bermusim atau mereka yang tinggal di luar bandar, namun secara umumnya memang tidak dapat dinafikan dari sudut perbelanjaan pengangkutan, kebanyakan isi rumah memperuntukkan sebahagian besar perbelanjaan ke atas bayaran tol dan petrol.

Pastinya, pengurangan kadar tol itu juga berbaloi bagi perjalanan jauh khasnya ketika musim perayaan, cuti sekolah, cuti tahunan, cuti panjang atau pulang ke kampung pada hujung minggu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan PLUS berkata syarikat itu akan terus komited untuk memberikan perkhidmatan lebuh raya yang terbaik pada setiap masa dan ini termasuklah daripada aspek operasi dan penyelenggaraan lebuh raya dan pengalaman perjalanan semua pelanggan di semua lebuhraya kendaliannya.

PLUS juga akan menggiatkan usahanya membantu meringankan kos hidup rakyat dan memainkan peranannya sebagai Rakan Negara dalam menyokong usaha-usaha Kerajaan untuk terus memberi manfaat dan impak yang positif kepada rakyat.

Pengurangan tol ini menyerlahkan keprihatinan kerajaan PAKATAN dalam merasai denyut nadi rakyat, membantu usaha menangani isu kos sara hidup.

– BERNAMA