Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntukan RM10.875 juta laksana pembangunan di Gombak

SHAH ALAM, 22 FEB: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi memperuntukkan RM10.875 juta bagi menaik taraf serta membaik pulih infrastruktur sekolah, masjid dan madrasah di Gombak, kata menterinya.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mengadakan lawatan kerja ke daerah tersebut hari ini berkata 15 projek naik taraf merangkumi lapan sekolah, dua masjid dan empat madrasah, yang bakal memanfaatkan lebih 16,000 masyarakat setempat.

“Program turun padang untuk menyantuni masyarakat membabitkan lawatan ke enam lokasi utama bagi meninjau sendiri tapak projek dan lokasi terlibat serta bertemu dengan penerima.

“Antara kerja yang dilaksanakan adalah pembangunan semula dan naik taraf surau, pembinaan kuarters dan dewan masjid, pembinaan dewan terbuka sekolah serta menaik taraf dan membaik pulih infrastruktur sekolah,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata projek tersebut adalah kerjasama antara kementeriannya, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta pelbagai agensi Persekutuan dan negeri.

“Kelulusan projek ini berdasarkan permohonan pihak sekolah dan pelbagai komuniti yang terlibat,” katanya yang turut mengadakan Program Gotong-Royong Perdana bersama penduduk Gombak.

Hadir sama dalam lawatan itu Ketua Setiausaha Kementerian Dato’ Saiful Anuar Lebai Hussen, Pengarah Pembangunan Selangor Dato’ Ruzain Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad Mohd Nazrul Izam Mansor.