Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntukan RM10 juta atasi banjir di Selayang

BATU CAVES, 21 FEB: Selangor meluluskan RM10 juta sebagai penyelesaian jangka panjang menangani isu banjir di sekitar Selayang, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan itu bagi menyelenggara dan menaik taraf beberapa kemudahan untuk melancarkan aliran air ketika hujan.

“Kerajaan Negeri memahami kesusahan yang dialami penduduk akibat banjir. Saya juga minta Majlis Perbandaran Selayang melihat aspek pembangunan di kawasan pentadbirannya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan Program Kelestarian DUN Sungai Tua untuk mengindahkan kawasan sekitar akan diadakan tahun ini.

“Kita akan adakan aktiviti gotong-royong untuk tujuan itu. Kita juga kenal pasti beberapa jalan untuk dibesarkan selain menambah pelbagai kemudahan awam di DUN Sungai Tua,” katanya.