Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ramai kunjungi kaunter BSH, mohon bantuan dinaikkan

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Pembukaan kaunter untuk permohonan dan kemas kini maklumat peribadi bagi pembayaran fasa kedua dan ketiga Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 pada hujung minggu mendapat sambutan orang ramai.

Tinjauan di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Jalan Duta dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari Sabtu lepas mendapati lebih 100 individu hadir, sama ada untuk mendaftar atau mengemas kini maklumat peribadi mereka.

Orang ramai menzahirkan maklum balas positif dan rasa puas hati dengan inisiatif kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk melaksanakan BSH tetapi berharap kerajaan mempertimbang untuk meningkatkan pembayaran mengikut pelbagai kategori iaitu isi rumah, individu bujang dan orang kelainan upaya (OKU).

Fasa pertama BSH melibatkan pengagihan peruntukan berjumlah RM1 bilion pada 20 Januari, melibatkan 3.8 juta penerima berdaftar dalam kategori isi rumah.

Seorang pengawal keselamatan yang hanya ingin dikenali sebagai Hery, 41, berkata beliau berharap kerajaan meningkatkan jumlah geran BSH daripada RM300 kepada RM500 bagi individu bujang yang berpendapatan bawah RM2,000.

“Pendapatan bulanan saya sekitar RM1,600, saya perlu bayar banyak komitmen termasuk sewa RM600 setiap bulan. Jika BSH boleh ditingkatkan menjadi RM500 pasti akan membantu golongan berpendapatan rendah seperti saya dan wang itu juga boleh disimpan untuk waktu kecemasan atau untuk membeli barangan,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Supiah Surip mencadangkan LHDN meneliti jumlah pembayaran yang lebih tinggi untuk individu bujang atau sudah berkahwin yang mempunyai masalah kesihatan bagi mengurangkan bebanan kos perubatan mereka.

“Saya sendiri telah didiagnosis dengan kanser payudara beberapa tahun lepas dan saya perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala di hospital setiap bulan dan perlu mengeluarkan banyak wang. Jika LHDN dapat meningkatkan bayaran BSH untuk orang seperti saya, ia benar-benar akan membantu,” katanya.

Bagaimanapun, seorang ibu tunggal anak dua, S. Valliammah meluahkan kekecewaan kerana mendakwa tercicir daripada menerima BSH pada 2019 tanpa diberikan sebarang alasan.

“Pada 2019 saya memohon BSH tetapi selepas menunggu lama, saya tidak mendapat jawapan (sama ada diluluskan atau tidak). Saya cuba memohon sekali lagi tahun ini dan jika saya masih tidak layak, LHDN wajar memberitahu saya mengapa permohonan ditolak. Hakikatnya, saya amat memerlukan BSH kerana suami saya telah meninggal dunia dan saya tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya.

Sementara itu tinjauan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pudu di sini semalam mendapati kira-kira 180 individu hadir untuk mengemukakan borang BSH.

Nilai geran BSH ialah RM1,000 untuk pasangan suami isteri dengan pendapatan isi rumah bulanan RM2,000 dan ke bawah, RM750 bagi mereka yang berpendapatan RM2,001-RM3,000, RM500 bagi mereka yang berpendapatan RM3,001-RM4,000 dan tambahan RM120 setiap kanak-kanak (terhad kepada empat orang kanak-kanak sahaja).

Bagi pemohon bujang dengan pendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah, nilai geran RM300 dan diberikan secara sekali bayaran.

Bayaran ini dijadualkan untuk tiga fasa iaitu Januari, Mei dan Ogos 2020.

Penerima yang layak di sekitar Kuala Lumpur boleh mengunjungi cawangan LHDN terdekat di Jalan Duta, Jalan Raja Chulan, Wangsa Maju dan Cheras, serta di UTC Pudu untuk mendaftar atau mengemas kini maklumat peribadi mereka.

Pusat-pusat ini dibuka pada Isnin hingga Jumaat (9 pagi hingga 5 petang), dan pada hujung minggu pada 1 dan 2 Februari serta 14 dan 15 Mac (9 pagi hingga 4.30 petang).

Orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2747 serta emel kepada [email protected] untuk maklumat lanjut mengenai BSH dan syarat kelayakan.

– BERNAMA