Categories
AGENDA SUKANKINI

Sukan SEA: Pingat emas gimrama negara dibatal

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Bekas Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar kecewa dengan keputusan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC) yang membatalkan pingat emas atlet gimrama Izzah Amzan dalam acara riben.

Tunku Imran yang memimpin MOM lebih 20 tahun menggesa Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) agar melihat perkara itu.

“Agak mengecewakan apabila organisasi mengambil semula pingat emas atau apa-apa pingat daripada atlet. Ini kerana saya fikir sukan ini adalah untuk para atlet, bukan untuk ahli politik atau kerajaan.

“Jika para atlet telah memenangi secara adil dan saksama, (kemudian ditarik balik) dan persekutuan antarabangsa juga menyokongnya, saya tidak nampak kenapa ini perlu berlaku … sedih,” luah Tunku Imran selepas pengumuman kerjasama antara Program Pembangunan Ragbi Kebangsaan (NRDP) dan Yayasan Sime Darby (YSD) di Universiti Putra Malaysia di sini semalam.

Tunku Imran yang juga pengerusi YSD diminta mengulas isu perkongsian pingat emas Izzah dalam acara riben wanita pada Sukan SEA 2019 Disember lepas yang ditarik semula oleh PHISGOC.

Izzah pada mulanya mendapat tempat kedua berdasarkan tahap kesukaran walaupun beliau mengumpul 15.200 mata bersama atlet senegara Koi Sie Yan, yang matanya dikira terlebih dahulu dalam acara riben.

Selepas bantahan oleh pegawai Malaysia dan kelewatan penyampaian pingat lebih sejam, pihak penganjur bersetujumenganugerahkan pingat masing-masing kepada Izzah dan Sie Yan.

Bagaimanapun, keesokan harinya, Izzah telah diletakkan di tempat kedua di dalam laman web rasmi, menyebabkan Chef-de-Mission, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menghantar bantahan rasmi terhadap penganjur dan dijanjikan pingat itu dipulangkan.

Namun perkembangan terbaharu menyaksikan penganjur membatalkan pingat emas Izzah, menjadikan pungutan pingat negara turun kepada 55-58-71.

Insiden itu dipercayai berlaku disebabkan perbezaan prosedur pemutus antara buku panduan teknikal Sukan SEA dengan undang-undang Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) itu, setelah delegasi teknikal di temasya sukan berkenaan bertegas untuk mengikuti peraturan badan dunia walaupun Sukan SEA membenarkan perkongsian pingat emas.

Ia bukan kali pertama atlet gimrama Malaysia berkongsi pingat emas dalam acara yang sama, apabila Sie Yan bersama N. Shasangari Sivaneswari memenangi acara keseluruhan wanita di Sukan SEA 2015 di Singapura.

Ketika Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, atlet gimnas artistik Tan Fu Jie dan Jeremiah Loo Phay Xing diisytiharkan sebagai pemenang bersama acara kekuda pelana lelaki.

– BERNAMA