Categories
AGENDA NASIONAL

TEKUN Nasional sedia dana RM105 juta kepada usahawan

TANAH MERAH, 8 FEB: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menyediakan RM105 juta dana kepada usahawan pada tahun ini, kata pengerusinya.

Datuk Seri Mohamad Supardi Md Noor berkata pada masa sama, pihaknya berharap usahawan yang meminjam dana dengan agensi itu membayarnya dalam masa ditetapkan agar dapat membantu usahawan lain yang memerlukan bantuan modal perniagaan.

“Kita menyasarkan untuk mengutip kira-kira RM205 juta dana yang telah dipinjamkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan premis Ar Rahnu TEKUN Nasional Cawangan Tanah Merah yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional Datuk Adam Abd Ghani di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Supardi berkata pihaknya perlu bekerja keras dengan menggunakan segala sumber yang ada bagi melaksanakan dasar keusahawanan negara dalam tempoh 10 tahun.

“Kita akan memperbanyak lagi inisiatif sepanjang tempoh itu bagi menarik lebih ramai masyarakat di negara ini untuk menceburi bidang keusahawanan,” katanya.

Mengulas mengenai Ar Rahnu TEKUN Nasional cawangan Tanah Merah, beliau berkata premis berkenaan mula beroperasi pada 6 Januari lepas dengan memberikan perkhidmatan pembiayaan melalui gadaian emas kepada orang ramai.

“Pembiayaan itu mengetengahkan elemen pembiayaan mikro pajak gadai Islam yang patuh syariah dan ia merupakan satu daripada usaha pihak kami untuk membantu usahawan-usahawan yang berhadapan dengan masalah modal,” katanya.

Katanya, sehingga kini projek pembiayaan produk Ar Rahnu TEKUN Nasional telah melakukan sebanyak 32,006 transaksi berjumlah RM81.3 juta sejak ia dimulakan pada 2015 hingga Januari lepas.

“TEKUN Nasional akan meluaskan perkhidmatan Ar Rahnu ke seluruh negara dan antara cawangan yang telah beroperasi ialah Shah Alam, Wangsa Maju, Sentul, Semenyih, Alor Setar, Johor Bharu, Tawau, Kota Bharu dan Tanah Merah,” katanya.

– BERNAMA