Categories
BERITA UTAMA

Tiada jangkitan koronavirus 2019 di UPSI

IPOH, 11 FEB: Tiada jangkitan koronavirus 2019 dilaporkan di kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, termasuk di kawasan kediaman Marina UPSI.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI Prof Dr Md. Amin Md. Taff berkata Marina UPSI dijadikan lokasi pemantauan di rumah, bagi koronavirus 2019 terhadap pelajar antarabangsa dari China, yang mendaftar untuk sesi Februari 2020.

Tanpa menyatakan jumlah pelajar terlibat, Md. Amin berkata saringan awal yang rapi dilakukan Pusat Kesihatan UPSI, semasa proses pendaftaran dan didapati semua pelajar negatif serta bebas daripada jangkitan virus itu.

“Kementerian Kesihatan menggariskan proses pemantauan di rumah dijalankan bagi tempoh dua minggu, untuk memastikan semua pelajar antarabangsa China bebas dari virus tersebut.

“Proses ‘home surveillance’ ini dilakukan sebagai salah satu langkah awal, bagi mencegah simptom koronavirus. Proses ini turut dilaksanakan beberapa Institut Pengajian Tinggi Awam lain,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi UPSI.

Md. Amin berkata pihak UPSI sentiasa peka dan waspada terhadap kesejahteraan seluruh warga UPSI dan penduduk daerah Muallim.

-BERNAMA