Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada pesakit koronavirus 2019 di Hospital Ampang

SHAH ALAM, 1 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan terdapat seorang pesakit menghidapi jangkitan koronavirus 2019 di Hospital Ampang seperti yang tular menerusi aplikasi WhatsApp.

Sebaliknya video berkenaan merupakan simulasi sindrom pernafasan virus korona Asia Barat (MERS-CoV) yang dilakukan di hospital itu semalam.

“Merujuk kepada satu berita yang tular melalui aplikasi WhatsApp mengenai video seorang pesakit Hospital Ampang yang disahkan menghidap 2019-nCoV, pihak hospital ingin menegaskan bahawa berita tersebut adalah palsu.

“Video tersebut sebenarnya memaparkan prosedur operasi standard yang dijalankan oleh Hospital Ampang bagi mengendalikan pesakit yang disyaki dijangkiti Mers-Cov,” katanya dalam kenyataan.

Hospital Ampang merupakan hospital rujukan untuk kes yang disyaki dijangkit MERS-Cov dari Arab Saudi.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Rozaidi Jamil semalam hadir memberi keterangan lebih dua jam di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung tindakannya berkongsi berita palsu tentang jangkitan koronavirus 2019.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Zed Zaidi, 40, tiba di Menara SKMM di Putrajaya bersama peguamnya Zamri Idrus jam 3.30 petang dan selesai memberi keterangan 5.45 petang.

Zed Zaidi yang ditemui memaklumkan telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi menyiasat kes itu.

“Untuk yang di luar sana berhati-hati bila post (membuat hantaran di media sosial),” katanya ringkas.

Sementara Zamri berkata anak guamnya disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana berkongsi gambar berita palsu di laman Twitter kononnya semua negara telah menyekat kemasukan pelancong China kecuali Malaysia.

Beliau berkata kad sim Zed Zaidi turut diambil dan direkodkan oleh SKMM.