Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada tarikh ditetapkan untuk peralihan kuasa

PUTRAJAYA, 22 FEB: Tiada tarikh ditetapkan bagi Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada penggantinya.

Dr Mahathir berkata mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan malam tadi memutuskan beliau menentukan masa untuk mengundur diri.

“Saya kata peralihan lepas APEC (Asia-Pacific Economic Cooperation). Tidak masa (ditetapkan)…tidak ada tarikh… tiada apa-apa.

“Terpulang kepada saya tentukan masa. Keputusan kepada saya, bila akan letak jawatan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (Pakatan) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Dr Mahathir berkata ia adalah keputusan sebulat suara mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat dipengerusikan Dr Mahathir selaku Pengerusi Pakatan berlangsung selama tiga jam dihadiri pemimpin-pemimpin Pakatan termasuk Presiden Pakatan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.

Ditanya sama ada mesyuarat itu juga bersetuju supaya Anwar menjadi perdana menteri kelapan, Dr Mahathir berkata: “Perkara itu tidak timbul. Jawatan itu terserah kepada saya untuk membuat keputusan selepas APEC.”

Anwar yang duduk sebelah Dr Mahathir semasa sidang media itu berkata: “Saya sendiri cadang supaya Tun Dr Mahathir diberikan ruang mentadbir dan kemudian bila (masa peralihan kuasa)… dia tetapkan masa yang sesuai, itu barulah (berlaku), dan sementara itu saya kenalah sabar,”

“Pendirian kita jelas, tidak ada keraguan, komitmen kita untuk memastikan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dapat menjalankan tugas dengan dokongan yang penuh. Ini tidak dipersoal,” kata Anwar.

Dr Mahathir berkata perkara paling penting yang diputuskan dan dipersetujui secara bersama di dalam mesyuarat ini adalah tarikh peralihan kuasa yang ditentukannya sendiri.

“Diserah kepada saya. Apa saya kata mereka akan turuti. Terpulang kepada saya. Itu kepercayaan diberikan oleh parti (Pakatan) kepada saya. Alhamdulillah,” katanya.

Dr Mahathir berkata mesyuarat panjang lebar itu antara lain membincangkan masa depan parti-parti di dalam Pakatan Harapan dan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak.

“(Kita juga) Bincang mengenai pilihan raya di Sarawak dan kita akan tentukan calon kita supaya mereka tidak berlawanan antara parti komponen,” katanya.

Menurutnya mesyuarat itu juga tidak membincangkan isu rombakan kabinet.

Dr Mahathir berkata Pakaan juga akan mengadakan konvensyen, dan tarikhnya bakal ditentukan kemudian.

-BERNAMA