Categories
PBT SELANGOR

Tiga premis kotor di Hulu Selangor ditutup 14 hari

SHAH ALAM, 8 FEB: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menutup tiga premis makanan di Hulu Selangor selama dua minggu berkuat kuasa sejak Rabu lalu serta semalam kerana beroperasi dalam keadaan kotor, kata jurucakap Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA)nya.

Katanya, arahan dikeluarkan Unit Kawalan Mutu Makanan terhadap premis di Kalumpang, Kuala Kubu Bharu dan Batang Kali itu berdasarkan Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MDHS) 2007 dan pemilik premis perlu melaksanakan kerja pembersihan sepanjang tempoh penutupan.

“MDHS meminta mereka menjaga kebersihan, terutama premis hendaklah bebas daripada sebarang tikus atau serangga seperti lipas dan lain-lain.

“Sekiranya pemilik premis gagal mematuhinya, kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas seperti penawaran notis kompaun atau penutupan premis,” kata kenyataan dimuat naik di Facebook JPSPPA semalam.

Pihaknya turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat kepada JPSPPA di talian 03-60641050 atau melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam jika terdapat aduan berkaitan premis makanan kotor.