Categories
AGENDA SUKANKINI

TM bangkitkan semangat bola sepak Liga-M

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Rakan kongsi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menyifatkan kehadiran semula Telekom Malaysia (TM) sebagai penaja rasmi Liga Malaysia (Liga-M) mampu menaikkan semangat pasukan untuk memulakan saingan pada musim ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon berkata, mereka berbesar hati dengan kerjasama yang terjalin dan dalam masa sama mengharapkan perjanjian yang dimeterai itu dapat mengubah hala tuju bola sepak tempatan ke arah yang lebih cemerlang.

Beliau berkata dengan kehadiran semula TM, ia dapat memberikan semangat baharu kepada semua pasukan dan berharap syarikat telekomunikasi itu akan sentiasa menyokong liga tersebut.

“Apabila ada penaja, sudah tentu hak penyiaran menjadi kepentingan dan percaya tidak akan timbul isu hak penyiaran pada musim ini,” katanya dalam kenyataan oleh MFL hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Mohamad Azlin Mohd Nadzri berharap kehadiran penaja utama dapat memberikan keyakinan tinggi kepada semua penyokong untuk terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan pilihan mereka.

TM, menerusi anak syarikatnya, TM Multimedia (TMM) menandatangani perjanjian kerjasama selama tiga tahun bersama MFL.

Penajaan, yang nilainya tidak didedahkan itu, turut menyaksikan TM sebagai penaja bersama bagi saingan Liga Super, Liga Premier, Piala FA dan Piala Cabaran dalam kancah Liga-M yang bermula 28 Feb ini.

– BERNAMA