Categories
AGENDA NASIONAL

Tujuh pesakit Covid-19 di Selangor pulih

BATU CAVES, 21 FEB: Tujuh daripada sembilan pesakit Covid-19 yang dilaporkan di Selangor sudah pulih manakala dua lagi masih dirawat, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) semalam, kebanyakan pesakit adalah warga China yang dikesan pada peringkat awal.

“Daripada 22 kes di Malaysia, sembilan adalah di Selangor. Enam orang daripada mereka merupakan warganegara China.

“Dalam mesyuarat turut dimaklumkan penyakit ini boleh diubati dengan syarat ada tanda awal dan terus dapatkan rawatan,” katanya selepas solat Jumaat di Masjid Jamiatus Solahiah, Kampung Sungai Tua di sini hari ini.

Berikutan itu, beliau meminta orang ramai agar menjaga kebersihan termasuk memakai topeng mulut dan hidung jika selesema atau batuk.

Selain itu, beliau menasihatkan jemaah tidak menyebarkan berita palsu khususnya di media sosial kerana ia boleh menimbulkan rasa panik dalam kalangan masyarakat.

“Marilah terus berdoa supaya kita terhindar daripada penyakit. Dalam masa sama kita mengingatkan rakan-rakan untuk menyebarkan berita yang betul,” katanya.