Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

WHO : ‘Covid-19’ nama rasmi bagi koronavirus 2019

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Covid-19, yang bermaksud ‘Penyakit Virus Korona’ adalah nama rasmi bagi koronavirus 2019, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang menjelaskan bahawa co bermaksud ‘korona’, vi (virus) dan d (penyakit), dalam taklimat media harian mengenai virus itu, di Geneva, Switzerland pada Selasa (waktu tempatan).

“Kami kini mempunyai nama bagi penyakit #2019nCoV : Covid-19,” katanya dalam siaran video di laman Twitter rasmi WHO.

“Di bawah garis panduan yang dipersetujui antara WHO, Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), kami harus mencari nama yang tidak merujuk kepada lokasi geografi tertentu, haiwan, individu atau mana-mana kumpulan manusia dan berkaitan dengan penyakit ini.

“Dengan adanya nama (rasmi) ia dapat mengelakkan penggunaan nama lain yang tidak tepat dan menimbulkan stigma. Ia juga memberikan kami format standard untuk digunakan bagi sebarang wabak koronavirus pada masa depan,” katanya.

Setakat ini, virus baharu itu yang pertama kali dikesan di Wuhan, China pada Disember tahun lepas, telah membabitkan 42,708 kes positif Covid-19, dengan kematian mencecah 1,017 mangsa di negara itu.

Terdapat 393 kes dilaporkan di 24 negara termasuk 18 kes di Malaysia manakala satu kematian dilaporkan di Filipina.

-BERNAMA