Categories
AGENDA NASIONAL

125 lagi disahkan Covid-19, kes keseluruhan 553

SHAH ALAM, 16 MAC: Sebanyak 125 kes baharu Covid-19 dikesan setakat 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah kes terkumpul meningkat kepada 553, kata menteri kesihatan.

Datuk Seri Dr Adham Baba berkata sebanyak 95 daripada kes baharu berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

“Sebanyak 511 kes masih dirawat di Hospital Sungai Buloh dengan 12 kes diletakkan di unit rawatan rapi (ICU) kerana memerlukan bantuan pernafasan manakala 42 kes lagi telah sembuh sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata KKM kini memasuki tahap pembendungan akhir bertujuan menyekat penularan jangkitan daripada menjadi lebih serius.

“KKM juga dalam persediaan memasuki tahap mitigasi kelak dan antara langkah diambil menjadikan Hospital Sungai Buloh sebagai hospital merawat khusus untuk kes positif Covid-19.

“Meningkatkan kapasiti dan kapabiliti makmal untuk menjalankan pengesanan jangkitan, mengenal pasti pusat-pusat kuarantin di seluruh negara serta bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dan fasiliti swasta dalam pengurusan kes,” katanya.