Categories
AGENDA NASIONAL

49 hektar hutan simpan terbakar dipadam, lagi tiga hari selesai

SHAH ALAM, 8 MAC: Kawasan hutan yang terlibat dalam kebakaran di Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan kini hanya berbaki 2.8 hektar dan dijangka berjaya dipadam sepenuhnya tiga hari lagi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata setakat pukul enam petang semalam, sebanyak 49.2 hektar daripada 52 hektar kawasan hutan yang terbakar telah berjaya dipadamkan oleh empat pasukan bomba yang bertugas.

“Hujan lebat selama kira-kira 20 minit pada petang semalam juga berjaya membantu kerja-kerja pemadaman api di beberapa kawasan kebakaran.

“Seramai 136 anggota yang terdiri daripada bomba, kakitangan Majlis Perbandaran Kuala Langat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bertugas dalam operasi pemadaman kebakaran hutan ini sejak ia terbakar kira-kira tiga minggu lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Tambah Hafisham, operasi pengeboman air menggunakan dua pesawat Bombardier CL- 415 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia juga ditangguhkan sementara waktu berikutan api telah dapat dikawal.

Katanya lagi, pihaknya akan terus melakukan operasi pemadaman api di kawasan hutan berkenaan menggunakan kaedah serangan terus ‘direct attack’, dan membina ‘fire break’ dengan menggunakan 10 jentera yang disediakan.

– BERNAMA