SHAH ALAM, 30 MAC: Posmen, pemandu lori dan penghantar makanan boleh mengambil cecair pembasmi kuman serta penutup hidung dan mulut di Pejabat Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati mulai jam 12 tengah hari esok.
Ahli Dewan Negerinya Juwairiya Zulkifli berkata bantuan yang bakal memanfaatkan lebih 500 penerima bagi menghargai pengorbanan mereka yang bekerja dalam suasana mencabar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
“Mereka bekerja bertungkus-lumus memastikan rantaian bekalan makanan atau bahan asas tidak terputus, justeru bantuan ini diharap memberi manfaat kepada mereka,” katanya kepada SelangorKini hari ini.
Mereka yang layak mendapat bantuan itu hanya perlu menunjukkan kad atau surat akuan pekerja.