Categories
ADN SELANGOR

ADN Dusun Tua mahu rakyat faham Perintah Kawalan Pergerakan

SHAH ALAM, 24 MAC: Semua pihak digesa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membantu kerajaan membendung wabak Covid-19 sebelum pandemik itu bertambah parah, kata ahli dewan negeri (ADN) Dusun Tua.

Edry Faizal Eddy Yusof berkata masyarakat harus memahami PKP bagi menjarakkan hubungan orang ramai bertujuan memutuskan rantaian virus tersebut daripada terus menular.

“Masyarakat hanya boleh keluar untuk keperluan mendesak tetapi kena ingat harus sentiasa menjarakkan diri dengan individu lain.

“Jika masyarakat tidak patuh PKP ia menyebabkan wabak ini semakin serius seterusnya tempoh PKP juga kena dilanjutkan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Setakat pagi tadi, PKP yang memasuki hari ketujuh menyaksikan tumpuan diberikan kepada lapan peratus rakyat yang masih tidak patuh kepada arahan terbabit.

Ini bagi memastikan sasaran 100 peratus pematuhan rakyat terhadap PKP bagi mengekang wabak Covid-19 tercapai.