Categories
AGENSI SELANGOR

Akibat buli, pelajar tahfiz parah dibelasah senior

OLEH NORRASYIDAH ARSHAD

SHAH ALAM, 12 MAC: Polis menahan tujuh pelajar tingkatan tiga hingga lima susulan kes seorang pelajar sekolah maahad tahfiz di Tanjong Karang cedera parah termasuk mengalami kecedaraan dalaman akibat dibuli.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor DSP Noor Janihan Nanyan berkata pihaknya turut memanggil empat pelajar lain untuk memberi keterangan selepas dipercayai menyaksikan kejadian terbabit.

“Mangsa kini berada di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya kepada Selangorkini di sini hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Portal Harian Metro hari ini melaporkan seorang pelajar lelaki tingkatan satu di sebuah maahad tahfiz cedera selepas dipercayai menjadi mangsa buli sekumpulan pelajar senior.

Kejadian itu mendapat perhatian warga maya selepas status dan gambar dimuat naik seorang pengguna Facebook yang mendakwa abang kepada mangsa tular di laman sosial.

Abang mangsa turut mendakwa adiknya akan berdepan masalah sistem imunisasi badan yang lemah kerana organ dalamannya berkemungkinan dibuang.