Categories
AGENDA JENAYAH

Anak Najib gagal tangguh prosiding saman LHDN

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan anak lelaki bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd Nazifuddin untuk menangguhkan prosiding saman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadapnya yang menuntut cukai belum dibayar sebanyak RM37.6 juta, sementara menunggu rayuan berhubung taksiran cukai kepada LHDN.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Mohd Nazifuddin, memaklumkan bahawa Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menolak permohonan itu atas alasan tiada keadaan khusus atau istimewa yang mewajarkan prosiding itu ditangguh.

“Mahkamah turut menetapkan 28 April untuk mendengar permohonan LHDN bagi mendapatkan penghakiman ringkas,” katanya selepas kes itu disebut dalam kamar.

Turut hadir peguam kanan Al-Hummidallah Idrus bagi pihak LHDN.

Penghakiman ringkas adalah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujah tanpa mendengar kenyataan saksi dalam perbicaraan.

Pada 11 April tahun lepas, Mohd Nazifuddin memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding kes itu sementara menunggu rayuannya berhubung taksiran cukai yang perlu beliau bayar kepada LHDN.

LHDN menerusi Kerajaan Malaysia memfailkan writ saman terhadap Mohd Nazifuddin pada 24 Julai tahun lepas.

Ia mendakwa Mohd Nazifuddin, 37, belum membayar cukai bagi taksiran tahun mulai 2011 hingga 2017 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Menurut penyataan tuntutan, kegagalan Mohd Nazifuddin untuk membayar cukai selama tujuh tahun, yang sepatutnya dilakukan dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis taksiran seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, menyebabkan bayaran tambahan sebanyak 10 peratus dikenakan.

Plaintif mendakwa defendan masih gagal melunaskan jumlah itu dalam tempoh 60 hari selaras dengan akta tersebut, menyebabkan lima peratus faedah terkompaun turut dikenakan, menjadikan jumlah yang perlu dibayar ialah RM37,644,810.73.

Jumlah itu terdiri daripada RM1,780,837.70 iaitu taksiran bagi tahun 2011, RM6,604,851.81 (2012), RM6,279,834.41 (2013), RM4,360,278.87 (2014), RM2,074,950.76 (2015), RM2,623,943.76 (2016) dan RM13,920,113.42 (2017).

Oleh itu, kerajaan kini menuntut sejumlah RM37,644,810.73 dengan faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh jumlah itu dilunaskan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 28 Februari lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding saman LHDN yang menuntut bekas perdana menteri itu membayar cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion sementara menunggu rayuan berhubung taksiran cukai oleh LHDN.

– BERNAMA