Categories
AGENDA NASIONAL

Angka pesakit baharu Covid-19 turun, 106 kes hari ini

SHAH ALAM, 24 MAC: Seramai 106 kes baharu positif Covid-19 dikenal pasti hari ini, turun mendadak berbanding jumlah semalam, kata pengarah kesihatan Malaysia.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 43 kes dilaporkan membabitkan kluster jemaah tabligh yang berhimpun di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur pada hujung bulan lalu.

“Baki 63 pesakit dari pelbagai kluster dan siasatan berhubung perkara itu masih dijalankan.

“Sehingga kini, 64 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 27 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, sehingga hari ini, Kementerian Kesihatan merekodkan seramai 1,624 dijangkiti Covid-19 dengan 183 pesakit sudah pulih manakala 15 meninggal dunia.

Semalam, kementerian mengumumkan seramai 212 pesakit positif Covid-19 dikenal pasti dan jumlah itu tertinggi berbanding angka sebelum ini.