Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bank-bank tawar tangguh bayar balik pinjaman bermula 1 April

SHAH ALAM, 25 MAC: Bermula 1 April ini, bank-bank tempatan menawarkan penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan kepada peminjam individu dan perusahaan kecil sederhana (PKS) bagi membantu rakyat berdepan kekangan ekonomi susulan penularan Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu dicapai selepas kerajaan mengadakan sesi perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Pemegang kad kredit yang menghadapi kekangan kewangan boleh memilih untuk menukar baki kad kredit kepada pinjaman berjangka.

“Fleksibiliti penangguhan pembayaran balik kad kredit ini boleh dimanfaatkan oleh peminjam dari 1 April sehingga 31 Disember 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sektor korporat boleh berunding dengan bank masing-masing untuk menyusun semula pembayaran balik yang sesuai dengan keadaan perniagaan mereka.

“Ini adalah penting untuk membolehkan syarikat-syarikat terus berkemampuan untuk mengekalkan pekerjaan dan segera meneruskan aktiviti perniagaan masing-masing,” katanya.

Kata beliau, semua langkah penangguhan bayaran balik pinjaman, penyusunan baki kad kredit dan penstrukturan semula pinjaman perniagaan melibatkan jumlah sekurang-kurangnya RM100 billion.

“Ini merupakan satu jumlah yang amat bermakna, dan saya amat berterima kasih di atas keperihatinan Kementerian Kewangan, BNM serta industri perbankan Malaysia,” katanya.