Categories
AGENSI SELANGOR

Bekalan air di Damansara Damai, Saujana Damansara pulih

SHAH ALAM, 20 MAC: Bekalan air di Damansara Damai dan Saujana Damansara pulih sepenuhnya pada jam 7 pagi tadi, kata ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Abdul Halem Mat Som mengucapkan penghargaan kepada pelanggan yang memberikan kerjasama baik kepada semua warga kerja Air Selangor.

“Kami berharap anda dapat menggunakan air secara berhemat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelanggan yang ingin mendapatkan perkembangan terkini mengenai bekalan air boleh rujuk aplikasi telefon pintar Air Selangor, Facebook, Twitter dan Instagram Air Selangor atau layari laman sesawang di www.airselangor.com.

Selasa lepas, seramai 30,574 pengguna di kawasan Petaling terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual susulan penurunan paras Kolam Air Kota Damansara dan Kolam Effingham kerana permintaan tinggi di kawasan terbabit.

Antara kawasan terjejas ialah Bandar Baru Sungai Buloh Fasa 3, Damansara Damai PJU 10, Kampung Baru Sungai Buloh, Kampung Desa Aman, Kampung Paya Jaras, Merbau Sempak, Penjara Sungai Buloh, Saujana Damansara, Seksyen 20, 21 dan 22 serta SB Jaya.