Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bekas jururawat tangani H1N1, Ebola tekad bendung Covid-19

SHAH ALAM, 24 MAC: Seorang bekas jururawat yang memohon menyertai pasukan bantuan kesihatan mahu menggunakan pengalamannya ketika bertugas menangani wabak bahaya di luar negara bagi membendung Covid-19.

Wan Maizatu Hidayah Wan Malek, 35, yang bertugas sebagai jururawat pada 2008 hingga 2018 di dalam dan luar negara pernah berdepan situasi getir menghadapi wabak seperti Influenza A (H1N1), Ebola dan Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV).

Ibu kepada dua anak yang sudah menghantar permohonannya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam berkata dia pernah bertugas sebagai jururawat di bahagian kawalan jangkitan dan menjadi sebahagian anggota perubatan hospital bagi mengawal MERS-CoV di Arab Saudi.

Wan Maizatu Hidayah Wan Malek

“Saya mempunyai pengetahuan yang boleh digunakan untuk membantu menangani Covid-19. Saya tidak berfikir panjang sebaik kerajaan membuka permohonan kepada individu berminat menyertai pasukan bantuan.

“Saya kasihan mengenangkan rakan-rakan yang masih bekerja sebagai jururawat, mereka ketika ini bertungkus-lumus tanpa mengira masa.

“Mereka penat dari segi fizikal dan mental, saya memahami emosi mereka kerana pernah berdepan situasi sama sebelum ini,” katanya kepada SelangorKini.

Wan Maizatu Hidayah yang menetap di Selayang berkata keluarganya tidak menghalang hasratnya walaupun berisiko dirinya turut dijangkiti Covid-19.

“Mereka tahu semangat saya yang berpegang kepada kata-kata `sekali bergelar jururawat, selamanya jururawat’.

“Saya cintakan kerjaya ini dan apabila ada peluang, sudah pasti saya tidak lepaskan,” katanya.

Wan Maizatu Hidayah pernah berkhidmat sebagai jururawat KKM pada 2008 hingga 2015 sebelum berhijrah ke Arab Saudi pada 2016 selama dua tahun.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan RM100 juta kepada KKM untuk melantik 2,000 kakitangan baharu secara kontrak terutamanya jururawat.

Langkah itu susulan ramai jururawat dan kakitangan hospital keletihan kerana terpaksa bekerja siang dan malam untuk membuat saringan kes Covid-19 serta merawat mereka yang disahkan positif.

Ebola yang merebak di negara-negara Afrika Barat iaitu Guinea, Liberia dan Sierra Leone mencetuskan kebimbangan dunia pada 2014 apabila penyakit atau juga dikenali sebagai demam berdarah itu cepat merebak.

MERS-CoV pula dikesan pertama kali di Arab Saudi pada 2012 sebelum menular ke beberapa negara lain termasuk Malaysia menerusi jemaah haji.

Virus MERS-CoV menyebabkan gangguan pernafasan dan antara gejala pada pesakit ialah demam, batuk, sesak nafas, radang paru-paru dan kegagalan pernafasan.