Categories
AGENDA NASIONAL

Bersatu terkeluar daripada pentadbiran Selangor

SHAH ALAM, 5 MAC: Pentadbiran Kerajaan Selangor tidak lagi dianggotai parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bermula hari ini, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Katanya, perkara itu mengambil kira dinamik politik semasa yang berlaku di peringkat Persekutuan dan menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya kestabilan dan perpaduan negeri dikekalkan.

“Justeru, keterlibatan semua pimpinan dan ahli Bersatu terkeluar daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), pihak berkuasa tempatan, majlis permuafakatan ketua kampung, anak syarikat Kerajaan Negeri serta seluruh rangkaiannya bermula hari ini secara berperingkat,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau membacakan kenyataan bersama pengerusi Amanah Selangor Ir Izham Hashim dan Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo.

Beliau berkata peruntukan untuk Ahli Dewan Negeri (ADN) Bersatu dan dua ADN Bebas yang dipecat parti turut dibekukan selain perubahan kedudukan pada sidang Dewan Negeri Selangor, 16 Mac ini.

Mengulas kedudukan EXCO, Amirudin yang juga pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor berkata pentadbiran kini dianggotai sembilan orang termasuk Dato’ Menteri Besar, manakala kekosongan satu lagi kerusi akan dibincang kemudian.

Sementara itu, katanya, kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan berjalan seperti biasa atas prinsip Federalisme yang digagas melalui Perlembagaan Persekutuan.