Categories
ADN SELANGOR

Buang sisa toksik tempat sampah tidak patut berlaku – Juwairiya

SHAH ALAM, 15 MAC: Tindakan orang awam membuang sisa bahan berbahaya di tempat pembuangan sampah domestik seperti di Taman Sirambai, Kuala Selangor tidak patut berlaku, kata Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati.

Juwairiya Zulkifli berkata, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan berkenaan kerana ia mengundang bahaya kepada kesihatan penduduk terutama kanak-kanak dan warga emas.

“Saya mahu kejadian di Taman Sirambai semalam tidak berulang dan berterima kasih kepada pihak Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor serta Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) yang bertindak pantas menyelamatkan keadaan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Semalam, penduduk di Taman Sirambai dikejutkan dengan bau tidak menyenangkan yang datang daripada longgokan sampah domestik.

Siasatan pasukan bomba menjumpai sisa buangan dalam bentuk pepejal di samping terdapat label toksik dipercayai gas ammonia.

Bahan itu kemudian dipindahkan ke dalam lori dan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk tindakan selanjutnya.