Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bukan cuti biasa, KKM terbit video sebab perintah kawalan

SHAH ALAM, 21 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerbitkan video pengumuman perkhidmatan awam (PSA) di media sosial, bagi menggesa orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Video berdurasi 1 minit 36 saat itu menerangkan sebab perintah tersebut dibuat, yang terbukti berkesan dan dipraktikkan di negara lain bagi menghentikan penularan Covid-19.

“Kenapa (perintah kawalan) 14 hari? Jika seseorang itu disyaki positif Covid-19, maka penularan dapat dicegah dan jika tiada simptom, maka orang itu selamat.

“Kita tidak digalakkan keluar rumah dan kurang berinteraksi dgn orang ramai serta tukar kepada aktiviti selamat. Ambil serius perintah kawalan ini dan bukan dianggap cuti biasa,” kata KKM.

Video itu turut menerangkan keputusan pulang ke kampung bukan tindakan baik, malah potensi wabak tersebar lebih tinggi.

KKM juga sekali lagi mengingatkan orang ramai mematuhi arahan ditetapkan atau berisiko dikenakan tindakan undang-undang jika ingkar.

“Kita harus bekerjasama dan bersatu padu dalam menangani Covid-19 yang melanda seluruh dunia,” katanya.

Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac ini di seluruh negara, bagi mengawal penularan baharu Covid-19 yang kini merekodkan 1,030 kes dengan tiga kematian.

https://www.facebook.com/kementeriankesihatanmalaysia/videos/2700953699958310/