Categories
AGENDA NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka naik sedikit

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Saham-saham di Bursa Malaysia meningkat sewaktu dagangan dibuka pada pagi ini berikutan pemulihan sentimen di pasaran selepas kejatuhan mendadak harga minyak mentah global selain faktor kebimbangan berterusan membabitkan penularan Covid-19.

Pada 9.04 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.02 mata kepada 1,431.49 daripada paras 1,430.47 yang dicatatkan sewaktu dagangan ditutup pada Selasa.

Harga minyak mentah Brent naik 4.03 peratus kepada US$38.72 setong, setakat ini.

Sewaktu dibuka, FBM KLCI menokok 0.88 mata kepada 1,431.35.

Di pasaran luas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 231 berbanding 55 manakala 141 lain tidak berubah, 1,579 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 170.78 juta saham bernilai RM79.05 juta.

Sementara itu, dalam nota penyelidikannya, Malacca Securities Sdn Bhd berkata pemulihan harga minyak itu sebahagian besarnya disebabkan oleh aktiviti membeli saham-saham berharga rendah susulan penyusutan sentimen terhadap komoditi baru-baru ini.

“Oleh kerana pasaran dilihat berusaha mencari arah dan memastikan keadaan stabil, kami berpendapat bahawa pelabur akan meneruskan usaha mendapatkan saham-saham yang terjejas akibat penurunan itu,” kata firma itu.

Namun pada masa sama, ia kekal berhati-hati terhadap potensi kenaikan harga minyak dalam tempoh lebih lama memandangkan sentimen pasaran yang masih tidak menentu pada masa ini akibat penularan Covid-19.

Malacca Securities juga menyifatkan peningkatan itu akan disusuli dengan aktiviti pengambilan untung kerana pasaran masih dalam proses mencatat keuntungan baharu.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut dua sen kepada RM8.35, Public Bank rugi 10 sen kepada RM16.80 manakala Tenaga dan IHH masing-masing tidak berubah pada RM12.50 dan RM5.59.

Bagi saham aktif, sektor berkaitan tenaga seperti Perdana Petroleum, Dayang Enterprise dan Bumi Armada masing-masing meningkat setengah sen, enam sen dan satu sen kepada 17.5 sen, RM1.38 dan 18.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 18.55 mata kepada 10,004.69, Indeks FBM Emas Shariah menokok 43.93 mata kepada 10,586.32 dan FBM 70 meningkat 76.74 mata kepada 12,014.69.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.59 mata kepada 121.75, Indeks Perladangan bertambah 9.56 mata kepada 6,319.17 namun Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 38.49 mata kepada 13,928.79.

– BERNAMA