Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia ditutup tinggi

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit, kebanyakannya membabitkan dagangan dalam jajaran kecil dengan aktiviti belian semasa harga rendah berselang-seli dengan pengambilan untung bagi saham wajaran tinggi.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.08 mata kepada 1,491.03 berbanding 1,489.95 sewaktu ditutup pada Rabu.

Selepas meningkat 2.41 mata kepada 1,492.36 pada pagi ini, indeks petunjuk utama itu bergerak dalam jajaran 1,486.35 hingga 1,497.31 sepanjang dagangan hari ini.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 516 berbanding 350 manakala 364 lain tidak berubah, 766 tidak didagangkan dan 17 lain digantung.

Jumlah dagangan susut kepada 2.78 bilion saham-saham bernilai RM2.07 bilion daripada 2.99 bilion bernilai RM2.37 bilion pada Rabu.

Seorang peniaga berkata bursa tempatan itu dibuka dengan sentimen positif, sekali gus meneruskan aliran peningkatan semalam yang dipacu oleh kenaikan Wall Street.

Bagaimana pun, aktiviti pengambilan untung membabitkan saham-saham wajaran tinggi yang berlaku sebelum rehat tengah hari, telah mengheret turun indeks utama itu ke wilayah negatif.

“Bursa Malaysia kekal dalam dagangan jajaran ketil sepanjang sesi dagangan kedua hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Strategis Pasaran AxiCorp Stephen Innes berkata bursa tempatan itu terus perlahan, terutamanya disebabkan oleh tumpuan pelabur asing terhadap saham-saham China pada masa ini.

Beliau berkata, terdapat aliran masuk dana asing ke dalam pasaran ekuiti Taiwan dan Korea Selatan ini yang merupakan pertama kali berlaku sejak 21 Februari lepas.

“Namun, perkembangan bahawa FBM KLCI tidak lagi menyaksikan aliran penurunan adalah sesuatu yang menggalakkan,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, indeks Nikkei Jepun naik 1.09 peratus kepada 21, 329.12, Indeks Straits Times Singapura bagaimana pun susut 0.20 peratus kepada 3,018.94, Indeks Komposit KOSPI Korea Selatan pula menokok 1.26 peratus kepada 2,085.26, Indeks Bursa Shanghai menambah 1.99 peratus kepada 3,071.68 manakala Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 2.08 peratus kepada 26,767.87.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga masing-masing untung enam sen kepada RM8.53 dan RM12.64 dan Public Bank naik 10 sen kepada RM18.00.

CIMB susut empat sen kepada RM4.50 manakala IHH tidak berubah pada RM5.60.

Saham aktif pula menyaksikan XOX dan Vortex masing-masing susut setengah sen kepada tiga sen dan 7.5 sen namun Sapura Energy dan Priceworth naik setengah sen kepada 17 sen dan dua sen dan Tiger Synergy tidak berubah pada tiga sen.

Dalam pada itu, Indeks FBM Emas naik 28.68 mata kepada 10,533.21, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 39.0 mata kepada 11,190.0 dan Indeks FBMT 100 menambah 25.31 mata kepada 10,354.29.

Indeks ACE FBM meningkat 48.22 mata kepada 5,293.44 dan FBM 70 melonjak 105.13 mata kepada 12,920.79.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik naik 1.59 mata kepada 136.86, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 10.17 mata kepada 14,460.71 dan Indeks Perladangan menambah 14.49 mata kepada 6,766.77.

Di Pasaran Utama, jumlah dagangan berkurangan kepada 1.64 bilion saham bernilai RM1.83 bilion daripada 1.70 bilion saham bernilai RM2.14 bilion yang dicatatkan pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 440.25 juta unit bernilai RM73.71 juta berbanding 382.36 juta unit bernilai RM64.34 juta, semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan susut kepada 698.18 juta saham bernilai RM166.23 juta berbanding 911.09 juta saham bernilai RM173.08 juta pada Rabu.

Selain itu, produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 291.68 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (244.11 juta), pembinaan (104.48 juta), teknologi (147.0 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (56.84 juta), hartanah (194.99 juta), perladangan (114.36 juta), REIT (10.20 juta), dana tertutup (20,300), tenaga (307.70 juta), penjagaan kesihatan (45.17 juta), telekomunikasi dan media (30.60 juta), pengangkutan dan logistik (29.60 juta) serta utiliti (66.47 juta).

– BERNAMA