Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Angka kematian meningkat kepada lapan orang

SHAH ALAM, 21 MAC: Jumlah kematian Covid-19 di Malaysia meningkat kepada lapan orang susulan pertambahan empat lagi kes sehingga jam 6.30 petang, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kejadian yang dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu berlaku di Sarawak (dua kes), Kuala Lumpur dan Kelantan membabitkan warga tempatan.

“Kes kematian kelima melibatkan seorang wanita berusia 79 tahun warganegara Malaysia yang telah dimasukkan ke Borneo Medical Centre pada 16 Mac setelah mengalami demam dan batuk selama lima hari. Pada hari kedua, beliau mengalami kesukaran bernafas namun keluarga tidak mempersetujui beliau diberi bantuan alat pernafasan.

“Beliau dibawa pulang oleh keluarga pada 17 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 18 Mac. Beliau mempunyai kontak dengan dua orang lagi yang disahkan positif iaitu anak lelaki dan anak perempuan beliau,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Kematian keenam melibatkan anak perempuan kes kematian kelima yang berumur 40 tahun yang dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 18 Mac setelah mengalami demam dan batuk sejak 7 Mac.

Mangsa disahkan positif Covid-19 pada 19 Mac dan diberi bantuan pernafasan pada hari sama setelah keadaan kesihatan semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 tengah hari tadi.

Dr Noor Hisham berkata ketujuh pula melibatkan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 57 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Vietnam dan kontak dengan kes positif Covid-19 dari kluster tabligh.

Dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac setelah mengalami gejala demam, batuk dan sakit tekak selama seminggu, keadaan kesihatan beliau merosot sehingga memerlukan bantuan pernafasan pada keesokan harinya dan disahkan meninggal dunia pada jam 3.22 petang hari ini.

Kes kelapan pula melibatkan seorang lelaki daripada kluster tabligh warganegara Malaysia berusia 69 tahun yang dimasukkan ke Hospital Tumpat, Kelantan pada 16 Mac setelah mengalami gejala demam sejak 12 Mac.

“Beliau telah dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada 18 Mac setelah didapati keadaan kesihatan merosot dan kemudian memerlukan bantuan alat pernafasan pada keesokan harinya (19 Mac). Beliau disahkan meninggal dunia pada 21 Mac pada jam 4 petang,” katanya.